Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadiri perjumpaan bersama tiga individu termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low di Davos, Switzerland pada awal 2013.

Dua lagi individu itu ialah bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs Tim Leissner dan bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Michael Evans.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin, 37, berkata, Leissner mencadangkan supaya pengumpulan dana dibuat oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ada surat sokongan daripada Kerajaan Malaysia.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada 15 Januari 2013 mengemukakan surat rasmi kepada Najib bagi mendapatkan sokongan dana untuk usaha sama strategik antara Malaysia dan Abu Dhabi melalui Aabar Investment PJS serta 1MDB.

Nur Aida yang juga penyiasat kes 1MDB berkata, surat itu juga bertujuan untuk meminta pertimbangan Kementerian Kewangan bagi memberi sokongan terhadap pengumpulan dana yang akan dibuat.

"Oleh kerana pelaburan oleh Aabar mendapat sokongan daripada International Petroleum Investment Company (IPIC), maka dicadangkan pelaburan oleh 1MDB disokong oleh Kementerian Kewangan.

"Pada surat itu, Najib minitkan 'Yang Berbahagia Datuk Dr Irwan (Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah) sila uruskan perkara dengan segera'.

"Kemudian, Mohd Irwan dihubungi Datuk Azlin Alias yang juga Setiausaha Sulit Kanan Najib (ketika itu), untuk meminta supaya hal berkaitan disegerakan kerana kejayaan usaha sama bergantung kepada surat sokongan daripada Kementerian Kewangan," katanya.

Najib, 71, yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Nur Aida berkata, pada peringkat awal cadangan usaha sama antara Malaysia dan Abu Dhabi, Goldman Sachs mencadangkan supaya Kerajaan Malaysia menyediakan satu 'Letter of Comfort (LOC)' sebagai satu bentuk jaminan kepada terbitan bon yang akan dibuat 1MDB.

Susulan itu, katanya, Goldman Sachs mengemukakan deraf LOC kepada 1MDB yang kemudian dirujuk kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan pandangan undang-undang.

Bahagian Undang-Undang Kementerian Kewangan yang menelitinya menyatakan LOC itu bersifat satu bentuk jaminan yang memberikan 'contractual obligation' atau kewajipan kontrak kepada Kerajaan Malaysia.

"Pada 29 Januari 2013, satu Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) bertajuk 'Joint Venture with Aabar Investment PJS for Investment and Development of Real Property Assets' disediakan.

"Tujuan DCR bagi mendapatkan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB bagi usaha sama berkenaan.

"DCR diluluskan serta-merta oleh BOD 1MDB kerana ia dilampirkan bersama dua dokumen yang ditandatangani terlebih dahulu oleh Najib bertarikh 29 Januari 2013," katanya.

Perbicaraan itu berlangsung dibuat di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 1:41 PM