NAJIB (tengah) ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
NAJIB (tengah) ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
Faris Fuad

Kuala Lumpur: Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak membenarkan dana AS$3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Switzerland dibawa pulang ke pada 2013.

Nur Aida Arifin, 37, yang juga penyiasat kes 1MDB dan saksi pendakwaan ke-49 berkata, perkara itu disahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman.

"Hazem selaku Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB Global Investment Ltd (1MDB-GIL) tidak mempunyai akses dan kawalan ke atas dana diterbitkan daripada bon.

"Hazem beberapa kali membuat permintaan kepada Najib untuk membawa pulang dana itu bagi membiayai keperluan syarikat 1MDB, namun (ahli perniagaan dalam buruan) Low Taek Jho atau Jho Low, menyampaikan arahan bahawa ia tidak boleh dibawa pulang kerana untuk kegunaan dana pilihan raya UMNO.

"Hazem pernah memaklumkan perkara ini kepada (Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu), Datuk Azlin Alias, dan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin (Wok Kamaruddin) untuk memanjangkannya kepada Najib, namun bekas Perdana Menteri itu tidak membenarkan dana berkenaan dibawa pulang dan tiada sebab yang jelas diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib, 71, yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Mengenai perincian dana itu, Nur Aida berkata pada 19 Mac 2013, wang terbitan nota AS$3 billion dimuktamadkan dan dipindahkan ke dalam akaun 1MDB-GIL di BSI SA, Lugano, Switzerland dengan jumlah AS$2,721,000.

Jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun adalah kurang daripada jumlah sebenar setelah ditolak caj perkhidmatan yang dikenakan Goldman Sachs.

Akaun berkenaan dibuka di BSI Lugano pada 11 Mac 2013.

"Pada 13 Mac 2013, Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Najib bersetuju supaya kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengeluarkan surat sokongan terhadap terbitan dana AS$3 bilion.

"Pada 14 Mac 2013, Najib selaku Menteri Kewangan menandatangani surat sokongan kepada 1MDB untuk pinjaman berjumlah AS$3 billion dengan Goldman Sachs bagi mengadakan perjanjian usahasama dengan pihak Aabar PJS," katanya.

Perbicaraan bersambung 2.30 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 2:42 PM