NAJIB hadir pada Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram oleh membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
NAJIB hadir pada Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram oleh membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Malaysia nyaris diheret ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa berikutan kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membayar bon hutang yang dijamin International Petroleum Investment Company (IPIC).

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata berikutan itu Datuk Seri Najib Razak secara sulit mengarahkan beliau ke Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu (UAE) bagi menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, pada 2016, Najib memintanya datang ke rumah dan mengarahkannya pergi berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Development, Khaldoon Khalifa Al Mubarak di Abu Dhabi.

“Ia sebagai pemudahcara antara kerajaan dan Abu Dhabi. Ketika itu Abu Dhabi mahu membawa isu ‘Binding Term Sheet’ antara IPIC dan 1MDB ke Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa.

“Najib menerangkan bahawa jika Malaysia ke Mahkamah Antarabangsa kerana gagal membayar hutang bon yang dijamin IPIC ia akan mengeruhkan hubungan dua hala kedua-dua negara serta mempunyai risiko politik kepada pilihan raya akan datang,” katanya.

Amhari berkata, beliau perlu ke sana bagi mengesahkan dengan pihak Abu Dhabi bahawa kedua-dua negara setuju selesai tanpa perlu ke mahkamah dan ia adalah salah satu gerak kerja sulit oleh Najib.

“Sejurus selepas pertemuan dengan Najib, Jho Low (Low Taek Jho) menghubungi saya dan berkata akan menghantar nota maklumat berhubung perkara itu. Mereka berdua (Najib dan Jho Low) terbabit secara langsung dalam memastikan saya berunding dengan Khaldoon.

“Sekarang ini baru saya faham bahawa tindakan ini adalah sebagai langkah kawalan kerosakan. Di sana (Abu Dhabi) saya diterima dengan baik dan Khaldoon beritahu bahawa sebelum ini mereka dijanjikan ‘bermacam-macam’ oleh Malaysia tetapi tidak dikotakan,” katanya.

Menurutnya, hasil pertemuan itu mereka bersetuju untuk menjadi pemudahcara bagi kedua-dua negara secara ‘backchannel’ (saluran belakang) tanpa perlu ke mahkamah.

“Ia adalah sekiranya perjanjian dapat dipersetujui dan Malaysia membuat bayaran paling dekat. Ini adalah satu tugas khas sulit yang saya buat sendiri atas arahan Najib dan Jho Low. Perbincangan berhubung perjanjian seterusnya diuruskan oleh peguam kedua-dua pihak.

“Perjanjian yang sepatutnya ditandatangani sebelum penghujung 2016 akhirnya gagal dicapai kerana kedua-dua negara tidak dapat bersetuju terhadap beberapa klausa. Bagaimanapun pada April 2017 saya dimaklumkan perjanjian penyelesaian berjaya ditandatangani,” katanya.

Amhari berkata, beliau percaya ada individu lain (saluran baru) yang membantu meneruskan rundingan itu termasuk Jho Low.

Sementara itu, Najib didakwa memberi mandat kepada Jho Low untuk menguruskan usaha menyelamat berhubung kerugian dan hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

“Najib bersetuju dengan nota maklumat yang disediakan oleh Jho Low untuk melantik seorang lelaki bernama Heng (Terrence Geh iaitu Ahli Lembaga Pengarah 1MDB) menjadi sekretariat kepada tiga projek usaha sama Malaysia - China.

“Projek itu adalah Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Ini bermakna dia adalah pemain utama dan orang kuat Jho Low di Malaysia bagi memastikan perjanjian projek ini dapat ditandatangani,” katanya.

Saksi kelapan itu berkata, beliau ada melihat nota maklumat yang disediakan oleh Jho Low berhubung Geh yang dipinjamkan daripada anak syarikat Kementerian Kewangan iaitu Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) untuk menjadi sekretariat bagi ketiga-tiga projek itu.

“Saya ada menerima dokumen daripada Geh berhubung nota maklumat pertemuan saya dengan wakil dari China pada 22 September 2016. Wakil itu terdiri daripada Pengerusi dan wakil State-owned Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC), Naib Pengerusi Import-Export Bank of China (China EXIM) dan wakil daripada kedutaan China di Malaysia.

"Saya sebagai pegawai khas dan Pengarah Bahagian Ekonomi Pejabat Perdana Menteri (PMO) menjadi pembuka bicara diplomatik bagi mesyuarat itu dan Geh membantu saya kerana dia lebih arif cadangan projek usahasama Malaysia-China,” katanya.

Merujuk kepada dokumen yang menyatakan Najib ke Beijing, China pada awal November 2016, Amhari berkata ia adalah berhubung beberapa isu.

“Antaranya adalah mendapatkan perjanjian penuh antara syarikat China Communications Construction Company (CCCC) dengan ECRL Sdn Bhd. Selain mendapatkan perjanjian pembiayaan penuh antara China EXIM dan ECRL.

“Saya tidak tahu sama ada semua dokumen ini disediakan oleh Jho Low atau Geh. Secara keseluruhannya saya percaya Najib mempunyai pengetahuan dan memberikan mandat kepada Jho Low untuk membuat semua ini,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 8:07 PM