ENAM motosikal ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuh Raya Pantai Timur 2, dekat Bukit Besi. FOTO ROSLI ILHAM
ENAM motosikal ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuh Raya Pantai Timur 2, dekat Bukit Besi. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


KEGHAIRAHAN enam penunggang motosikal menjadikan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebagai lokasi lumba haram, terbantut apabila ditahan polis, semalam.

Semua penunggang berusia antara 18 hingga 23 tahun yang dikesan menunggang secara berbahaya ditahan dekat Plaza Tol Bukit Besi, Dungun, kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, semua penunggang itu dikesan berlumba di Ajil menghala ke Bukit Besi ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Terengganu sedang menjalankan operasi di LPT2.

Katanya, anggota mengekori kumpulan berkenaan sejauh 20 kilometer dan berjaya menahan mereka di Plaza Tol Bukit Besi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan terdiri daripada dua penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berusia 21 dan 22 tahun dari Kampung Losong Haji Mohamad dan Kampung Kepung, Kuala Terengganu.

“Empat lagi lelaki ditahan terdiri daripada penunggang motosikal jenis Yamaha RX-Z berusia antara 18 hingga 23 tahun, masing-masing berasal dari Rhu Rendang, Marang dan Panji Alam, Durian Guling dan Chendering di Kuala Terengganu,” katanya.

Baharudin berkata, pihaknya memandang serius perbuatan penunggang berkenaan yang bukan sahaja membahayakan nyawa mereka tetapi kepada pengguna LPT yang lain.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.

“Selain itu, mereka turut disaman atas pelbagai kesalahan lalu lintas seperti tiada cermin sisi dan lesen memandu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 7:07 PM