Siti Sofia Md Nasir


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 merampas 18,000 batang rokok dan 1,157 botol minuman keras tidak sah dalam serbuan di dua kedai runcit di Balik Pulau, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, rampasan berjumlah RM56,759 itu dilakukan menerusi Ops Landai, hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata, dalam serbuan 12 tengah hari itu, polis menahan dua pemilik premis iaitu lelaki berumur 46 tahun dan wanita berusia 58 tahun.

“Kedua-dua bahan larangan itu dipamerkan di dalam cermin pameran di kedai runcit terbabit dan selepas diperiksa, kami dapati ia tidak mempunyai cukai eksais.

“Pemilik kedai dan barang rampasan dibawa balik ke Pangkalan PPM Batu Uban untuk tindakan susulan dan diserahkan kepada polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Barat Daya untuk tindakan lanjut.

“Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Balik Pulau, semalam.

Rosman berkata, sejak Januari sehingga Ogos tahun ini, PPM Wilayah 1 melakukan 34 rampasan dan serbuan membabitkan nilai keseluruhan RM11 juta.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi dan membuat pemeriksaan terhadap premis bagi mengekang kes penyeludupan barangan dan kemasukan warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 12:29 AM
ROSMAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan arak dan rokok seludup dirampas ketika sidang media di Pangkalan PPM Wilayah 1, Batu Uban, Georgetwon, semalam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
ROSMAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan arak dan rokok seludup dirampas ketika sidang media di Pangkalan PPM Wilayah 1, Batu Uban, Georgetwon, semalam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.