HAMDAN hadir untuk rayuan memanggil semula dua saksi pakar dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, semalam.
HAMDAN hadir untuk rayuan memanggil semula dua saksi pakar dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, semalam.
Sarah Zulkifli


SHAH ALAM: Prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim berlanjutan apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam membenarkan permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi ke-24, Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan sedemikian selepas mendapati koroner terkhilaf dalam keputusannya sebelum ini yang menolak permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula dua saksi pakar dari HKL itu.

Ab Karim turut memutuskan hanya saksi ke-24 sahaja yang boleh dipanggil semula manakala tiada keperluan bagi tujuan sama untuk saksi ke-27 iaitu Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood.

Dalam keputusannya, Ab Karim berkata, saksi ke-24 ketinggalan dari segi fakta berikutan ada fakta baharu yang dikemukakan saksi ke-29 (bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid)

“Saya berpendapat saksi ke-24 perlu diberikan peluang untuk dipanggil semula bagi memperjelaskan perkara baharu.

“Ini berikutan saksi itu adalah pegawai yang membuat pemeriksaan awal dan melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa (Muhammad Adib). Beliau perlu menjelaskan perkembangan terbaharu daripada keterangan saksi ke-29.

“Justeru, saya ketepikan keputusan koroner dan membenarkan permohonan untuk memanggil semula saksi berkenaan,”katanya.

Katanya, koroner harus mempertimbangkan semua aspek berdasarkan inkues yang dibuat bagi mengetahui punca kematian dan bukanlah menuduh sesiapa.

“Saya mendapati ada kekhilafan yang dibuat koroner apabila menganggap prosiding inkues tidak akan berakhir sekiranya saksi berkenaan dipanggil,” katanya.

Sementara itu, peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor berkata, saksi ke-24 itu sudah memberikan keterangan sebelum ini, malah semua soalan yang merangkumi teori sudah ditanya pihak berkepentingan dalam inkues itu.

Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah berkata, tindakan saksi ke-29 memberi pendapat serta komen terhadap teori saksi pakar berkenaan menyebabkan saksi ke-24 harus dipanggil semula.

“Pihak pengendali tidak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi dalam keadaan itu, koroner harus mengumpul semua keterangan selain mendengar penjelasan saksi itu,” katanya.

Dalam pada itu, peguam keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman A Wahab memaklumkan mahkamah pihaknya akan memfailkan rayuan keputusan semakan itu di Mahkamah Rayuan, namun tidak memaklumkan tarikhnya.

Pada 22 April lalu, pegawai pengendali memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi di sini, untuk memanggil semula saksi ke-24 dan saksi ke-27 bagi memberikan keterangan selepas permohonan mereka di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditolak pada prosiding inkues lalu.

Seramai 29 individu termasuk pakar dan anggota bomba dipanggil memberikan keterangan sepanjang 21 hari inkues bagi menentukan penyebab kematian Muhammad Adib, 24.

Muhammad Adib, anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:30 AM