SUSPEK (tunduk) direman tujuh hari bagi membantu siasatan. FOTO Syarafiq Abdul Samad
SUSPEK (tunduk) direman tujuh hari bagi membantu siasatan. FOTO Syarafiq Abdul Samad
Sarah Zulkifli


LELAKI yang menyerah diri dengan membawa mayat wanita didakwa kekasihnya ke Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, semalam selepas mengaku membunuh mangsa, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya Siti Mazrah Mohamad membenarkan tempoh reman sehingga 12 Februari ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek berusia 37 tahun itu.

Siasatan terhadap lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, lelaki yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di mahkamah pada 11.15 pagi dan suspek yang diiiringi anggota polis keluar dari bilik reman sejam kemudian.

Semalam, polis menahan suspek yang menyerah diri dengan membawa mayat teman wanitanya ke balai polis itu selepas mengaku membunuh mangsa.

Siasatan awal polis percaya kejadian berlaku di dalam kereta Honda City di sebuah pasar raya di Kota Damansara pada 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din dipetik berkata, suspek tampil ke balai polis berkenaan pada 4 petang sambil memaklumkan kejadian kepada anggota polis bertugas di kaunter.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui mayat mangsa, 35, di tempat duduk belakang kereta terbabit dan mendapati kesan tikaman pada leher mangsa dipercayai menggunakan objek tajam yang turut ditemui di dalam kereta itu.

Sementara itu, rakan mangsa dikenali sebagai John, 36, menyifatkan mendiang amat disenangi di kalangan rakan-rakan dan kerap berhubung di laman sosial atau berkumpul.

Katanya, dia ada menemui mangsa yang dikenali sejak dari sekolah rendah itu, dua minggu lalu.

"Selama berkawan dengannya, mendiang tidak pernah memperkenalkan lelaki (suspek) yang membunuhnya kepada rakan-rakan dan berkemungkinan dia (mangsa) baru mengenali lelaki itu.

"Biasanya mangsa tidak berahsia dan dia baru sahaja bekerja di kondominium itu kira-kira empat bulan lalu," katanya yang ditemui di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Berita berkaitan

'Kami tak kenal pun'

[METROTV] [UPDATE] Mungkin jenayah asmara?

Serah diri bawa mayat kekasih

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 4:01 PM