Putrajaya: Kira-kira 900 taska di seluruh negara tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdasarkan rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sehingga (KPWKM) sehingga Oktober tahun ini.

Timbalan Menterinya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, ia membabitkan taska institusi, tempat kerja, komuniti dan taska rumah.

Menurutnya, jumlah berkenaan diperolehi selepas gerakan pemutihan dijalankan dengan 1,176 taska di seluruh negara dikenal pasti tidak berdaftar.

Bagaimanapun, seramai 286 pengusaha taska tampil untuk mendaftarkan taska masing-masing sehingga Oktober lalu.

“Saya berpendapat angka yang kita ada ini masih kurang tepat kerana saya percaya ada banyak lagi taska dan rumah pengasuh yang kita tidak tahu.

“Jadi, saya meminta semua ibu bapa mendapatkan maklumat sama ada taska anak mereka didaftarkan atau sebaliknya bagi menunjukkan keprihatinan mereka terhadap isu ini,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Kepentingan Taska Berdaftar dan Sesi Dialog Bersama Ibu Bapa di sini, semalam.

Taklimat berkenaan diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan ibu bapa mengenai kepentingan menghantar anak ke taska yang berdaftar dengan JKM bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terjamin.

Mei Fun berkata, sekiranya taska berkenaan belum berdaftar dengan JKM, ibu bapa diminta memaklumkan perkara itu kepada pihaknya bagi membolehkan ia didaftarkan.

Ditanya faktor pengusaha tidak mendaftarkan taska mereka, beliau berkata, satu daripadanya ialah tidak mahu berdepan dengan urusan pertukaran bangunan atau premis kerana membabitkan harga tinggi.

“Justeru, kita mengambil langkah dengan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelesaikan masalah ini.

“Selain itu, bagi taska rumah mungkin mereka menyangkakan tidak ada keperluan untuk mendaftarkannya dengan JKM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:12 AM