MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LELAKI ditemui lemas ketika menjala ikan di sungai Tebatan Banjir Wang Ulu - Tebing Tinggi, Bintong, di Kangar, semalam.

Mangsa, Don Kipli Had, 55, dari Kampung Wang Besar ditemui terapung di dalam sungai terbabit pada 10.45 malam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak saudaranya yang berusia 30 tahun malam selepas mangsa tidak pulang ke rumah.

“Mengikut keterangan anak saudaranya, mangsa keluar dari rumahnya ke lokasi kejadian pada 3 petang semalam bagi menjala ikan.

“Namun sehingga lewat malam, mangsa masih tidak pulang dan anak saudaranya itu ada mencari mangsa di lokasi tetapi hanya motosikal mangsa sahaja yang ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wari berkata, bimbang sesuatu yang buruk berlaku ke atas mangsa, anak saudaranya itu membuat laporan polis, jam 10.30 malam tadi.

“Mayat mangsa ditemui terapung dan anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dari sungai.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas mangsa dan sekitar lokasi kejadian tidak menemui sebarang petunjuk jenayah,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 10:52 AM