Hasbi Sidek


LUARANNYA nampak gah dan cantik, malah tempat makannya juga nampak mewah, namun keadaan menjijikkan sebaik menjenguk ke dapur restoran makanan laut, di Seremban 2, Seremban.

Ketika Ops Bersepadu Premis Makanan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) bermula 8 malam itu, kelihatan beberapa tikus berlari-lari di lantai kawasan dapur restoran berkenaan.

Malah, terdapat najis tikus dikesan di atas bekas menyimpan pinggan mangkuk di kawasan dapur menyebabkan sesiapa sahaja melihatnya akan merasa loya.

Pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati kipas yang digunakan di ruang dapur juga dipenuhi habuk kehitaman yang boleh menyebabkan keracunan makanan, malah beberapa pekerja asing dilihat dengan selamba bekerja hanya memakai seluar pendek, berselipar jepun dan tidak memakai penutup kepala.

Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, sebanyak 25 premis makanan di daerah ini diperiksa dalam operasi yang disertai 61 pegawai dari Unit Inspektorat dan Perundangan JKNS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, malam tadi.

“Hasilnya, sebanyak 82 notis dikeluarkan JKNS atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009) kerana tidak mematuhi amalan kebersihan diri dan makanan dengan nilai kompaun yang boleh ditawarkan sejumlah RM 22,100.00,

“Manakala, enam premis diperintahkan tutup selama tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” katanya ketika ditemui sejurus operasi tamat kira-kira 10 malam.

Veerapan berkata, pemeriksaan yang dijalankan di sebuah lagi restoran mendapati lantai tempat memasak kehitaman yang boleh menyebabkan kehadiran binatang seperti tikus, lalat dan lipas sekali gus berisiko untuk jangkitan kuman seterusnya keracunan makanan.

“Malah ada pekerja atau pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti memakai aksesori seperti cincin, tidak mendapatkan suntikan Vaksin Typhoid dan pakaian tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, pemilik restoran tidak seharusnya mementingkan kecantikan hiasan di luar restoran dan tempat makanan sahaja dengan tujuan menarik pelanggan, sebaliknya perlu mementingkan aspek kebersihan di tempat penyediaan makanan.

“Sepatutnya jaga kebersihan di seluruh premis dan bukan di luar sahaja. Di kawasan belakang (dapur) juga kena bersih dengan memastikan tempat penyediaan makanan dan penyimpanan yang sempurna bagi menarik pelanggan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 12:25 PM
PEKERJA restoran yang hanya memakai selipar dan tidak berpakaian lengkap dalam satu serbuan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan di sebuah restoran makanan di Seremban 2 ketika Operasi bersepadu premis makanan (Ops Bersih) di Daerah Seremban. FOTO Adzlan Sidek
PEKERJA restoran yang hanya memakai selipar dan tidak berpakaian lengkap dalam satu serbuan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan di sebuah restoran makanan di Seremban 2 ketika Operasi bersepadu premis makanan (Ops Bersih) di Daerah Seremban. FOTO Adzlan Sidek