TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas tuduhan menyeludup empat warga Myanmar. FOTO Syamsi Suhaimi
TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas tuduhan menyeludup empat warga Myanmar. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


TUKANG rumah didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini terhadap pertuduhan menyeludup empat warga Myanmar, 12 Disember lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Radzi Halim, 37, selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Rashid Mustafa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penyeludupan empat warga Myanmar itu di Pos Sekatan Jalan Raya Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Simpang Empat Salam, Rantau Panjang, 7.30 malam, 12 Disember 2017.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan penyeludupan migran.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Siew Meng dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan Selasa ini bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 12:44 PM