MOHAMAD Iman Al-Latif  (kiri) bersama adiknya Mohamad Afiq Iqbal  sempat menyelamatkan diri dalam  kebakaran.
MOHAMAD Iman Al-Latif (kiri) bersama adiknya Mohamad Afiq Iqbal sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: Tiga beradik sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, Mohamad Iman Al-Latif Saharuddin, 11, bersama dua adiknya, Mohamad Afiq Iqbal,10, dan Mohamad Tuah Iskandar, 5, berada di ruang tamu, manakala bapa mereka tiada di rumah.

Mohamad Iman Al-Latif berkata, dia dan Afiq sedang bermain telefon bimbit manakala Tuah pula bersama permainan LEGO sebelum dia (Tuah) masuk ke bilik tidur.

“Tiba-tiba Tuah berlari ke arah kami dan memberitahu ada api dalam bilik tidur di rak pakaian berhampiran fius,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohamad Afiq Iqbal pula berkata, mereka bertiga segera keluar menyelamatkan diri dan memberitahu abangnya yang berada di belakang rumah sebelum menghubungi pihak bomba.

Kebakaran itu adalah kali keempat berlaku di kampung terbabit yang mana kejadian terakhir adalah pada 28 Ogos lalu, membabitkan tujuh buah rumah.

ANGGOTA bomba   memadam api di bahagian ruang tamu dalam  kebakaran rumah di Kampung Padang Pohon Tanjung.
ANGGOTA bomba memadam api di bahagian ruang tamu dalam kebakaran rumah di Kampung Padang Pohon Tanjung.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.55 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu tiba lima minit kemudian.

Wan Baijuri berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kayu dengan 60 peratus terbakar.

“Seramai 15 anggota dari BBP Wakaf Bharu dan Tumpat termasuk tiga dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terbabit dalam operasi pemadaman.

“Api dapat dikawal 10 minit kemudian dan kami berjaya menyelamatkan api dari terus merebak ke beberapa rumah berhampiran disebabkan kedudukan yang rapat,” katanya sambil memberitahu punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya menjalankan pemantauan yang kerap di kampung berkenaan berikutan sudah beberapa kali berlaku kebakaran.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar mengawasi dan memantau anak agar tidak bermain dengan benda yang boleh menyebabkan kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:30 AM