BERNAMA

KEPRIHATINAN Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap rakyat sememangnya tidak boleh dinafikan, lebih-lebih dalam situasi wabak koronavirus baharu (Covid-19) yang melanda negara ketika ini.

Semalam, Raja Permaisuri Agong berkenan menyajikan nasi berlauk hasil air tangan Baginda, kepada petugas di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.

“Hari ini (semalam), saya masak untuk doktor-doktor, jururawat dan petugas di Hospital Sg Buloh... semoga Allah SWT merahmati dan melindungi mereka yang bertugas untuk negaraku Malaysia,” titah Raja Permaisuri Agong, menerusi hantaran di Instagram Baginda.

HIDANGAN hasil air tangan Permaisuri Agong kepada petugas perubatan. FOTO Instagram & Arkib NSTP
HIDANGAN hasil air tangan Permaisuri Agong kepada petugas perubatan. FOTO Instagram & Arkib NSTP

Dalam hantaran itu, antara menu yang dihasilkan oleh Baginda khas untuk petugas di Hospital Sungai Buloh adalah nasi putih, kari ayam, sayur goreng dan telur dadar yang dibungkus rapi dan diedarkan kepada petugas berkenaan.

Manakala, nasi goreng ‘cheminahsayang’ dan sambal tumis bilis serta kek muffin menjadi menu untuk petugas CPRC.

“Nasi goreng cheminahsayang dan sambal tumis bilis... untuk pegawai , doktor dan jururawat bertugas corona (koronavirus) di CPRC,” titah Baginda.

Pastinya hantaran itu mencuit perhatian netizen yang memuji keprihatinan Tunku Azizah terhadap petugas perubatan, yang telah banyak berkorban masa dan tenaga bagi merawat pesakit Covid-19.

Antara komen yang diberikan:

bayahness: Ampun Tuanku.. Patik selaku warga kerja kesihatan di hospital kawasan Sg Buloh amat terharu dgn kprihatanan Tuanku.. Junjung kurnia Tuanku... Moga Allah merahmati. You are my idol. Ampun Tuanku

wan_fary: Beruntung nya staff di sg buloh. Next HTAA tuanku.

ismazatulhusna: Alhamdulillah junjung kasih Tuanku. Thank you to all Malaysian frontliners

the_stories_of_familia: bangga ada queen mcm tuanku

Tidak ketinggalan, kemurahan hati Baginda itu mendapat ucapan terima kasih daripada petugas Hospital Sungai Buloh atas sumbangan Raja Permaisuri Agong itu kepada mereka.

Respons itu dijawab dengan hantaran terbaharu Baginda di instagramnya dengan bertitah:

“the least i could do... for the govt servants sacrificing their lifes...i solute them.”

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 12:27 AM