FOTO hiasan
FOTO hiasan
Shamsul Munir Safini


PUSAT urut yang menjadi kegilaan lelaki kemaruk belaian wanita warga asing diserbu Jabatan Imigresen (JIM) negeri dalam satu operasi di Jalan Jelutong, Georgetown, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 11 malam, JIM menahan beberapa wanita warga asing dari Thailand yang bekerja sebagai tukang urut di premis itu.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, premis itu sebahagian daripada 10 lokasi diserbu pihaknya dalam operasi khas.

Beliau berkata, pihaknya menyerbu tujuh rumah didiami warga asing dan tiga premis perniagaan termasuk restoran dan pusat urut.

“Kita memeriksa 40 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing sebelum menahan 19 warga asing.

“Semua ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah terdiri daripada tiga lelaki dan 10 wanita Thailand selain dua lelaki dan empat wanita Indonesia,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1)(c) akta sama dan Peraturan 11 (7)(a) Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:59 PM