DURIAN Musang King. FOTO arkib NSTP
DURIAN Musang King. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


"LAHIR di Malaysia, dibesarkan di sini (Malaysia) tetapi harga 'Yahudi' (mahal)".

Itu kritikan peminat atau penggemar durian jenis D197 atau lebih popular sebagai Musang King yang mempertikaikan harga buah tempatan itu yang terlalu mahal.

Difahamkan, harga buah berkenaan dijual di pasaran antara RM40 hingga RM80 satu kilogram (kg) bergantung kepada gred.

Menjawab tuduhan berkenaan, Md Mujahit Rahmat, 53, pengusaha Dusun Tok Bak di Jalan Kempas Lama, Johor Bahru berkata, harga Musang King mahal disebabkan penjagaannya yang rumit dan namanya yang sudah komersial.

MD Mujahit memegang buah durian Musang King hasil tanamannya. (Gambar kanan) Siti Maisalmah bersama pokok durian Musang King ditanamnya. FOTO ihsan Md Mujahit dan Siti Maisalmah
MD Mujahit memegang buah durian Musang King hasil tanamannya. (Gambar kanan) Siti Maisalmah bersama pokok durian Musang King ditanamnya. FOTO ihsan Md Mujahit dan Siti Maisalmah

"Saya tahu kritikan berkenaan (harga mahal) namun tidak ambil pusing perkara itu. Penjagaannya terlalu rumit, tidak boleh terlebih atau kurang air. Ketika tanaman (pokok Musang King) masih kecil, ia tidak boleh terlalu terdedah kepada cahaya matahari.

"Oleh kerana itu, pekebun akan meletakkan jaring sebagai pelindung dan cuaca memainkan peranan penting.

"Ini kerana baja akan ditabur pada musim hujan dan kemudian memerlukan tujuh hingga 10 hari berterusan tanpa hujan. Namun, cuaca kini tidak menentu dan sejak kebelakangan ini pula kerap hujan jadi penghasilan buah berkurangan seterusnya menyebabkannya dijual pada harga mahal," katanya ketika dihubungi.

Perkara itu turut diakui Mohd Nor Hisham, 42, yang kini mengusahakan kebun buah-buahan di Pasir Mas, Kelantan.

MOHD Nor Hisham mengakui Musang King memerlukan penjagaan yang rumit. FOTO ihsan  Mohd Nor Hisham
MOHD Nor Hisham mengakui Musang King memerlukan penjagaan yang rumit. FOTO ihsan Mohd Nor Hisham

Menurutnya, berbanding durian lain, Musang King lebih sukar ditanam kerana pekebun perlu memastikan baja digunakan bersesuaian dan pengairan cukup serta tidak berlebihan untuk kesuburan pokok.

Katanya, ia belum termasuk kos perlu dibelanjakan untuk membeli racun dan memagar kawasan tanaman bagi mengelaknya diserang haiwan seperti monyet atau babi hutan.

"Permintaan Musang King memang tinggi kerana namanya juga sudah popular dalam kalangan penggemar durian.

"Disebabkan itu, harganya sedikit mahal tetapi cara penjagaannya juga rumit kerana memerlukan perhatian berikutan sifat pokok berkenaan yang 'manja' dan memerlukan 'kasih sayang'.

"Pokok itu memerlukan air yang banyak pada musim kemarau dan baja organik sesuai untuk kesuburannya. Ini kerana jika tidak subur, pokok itu lambat berbuah dan berkemungkinan mati," katanya ketika.

Sementara itu, pemilik CTMAI Nursery iaitu nurseri buah-buahan, Siti Maisalmah Mohd Kamil, 39, berkata, penanaman pokok Musang King memerlukan belanja besar dan lebih sukar jika pekebun menanamnya dari kecil.

"Ikutkan daripada anak benih lagi penjagaannya sudah remeh dan disebabkan itu, harganya mahal kerana agak lama bagi mendapatkan hasil. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk tanaman membesar menjadi pokok penanti sebelum 'dikahwinkan' dengan jenis durian dimahukan.

"Penjagaan di nurseri agak mudah kerana pokok di dalam 'polibag' dan masih bersaiz kecil jadi hanya perlu diletakkan baja organik serta disiram setiap hari.

"Berbeza buat pekebun kerana cabaran dihadapi mereka bergantung kepada saiz kerana pokok setinggi 0.3 meter lebih sukar (dijaga) berbanding lebih besar dan tanaman itu perlu mengambil kira faktor tanah, air dan sukatan baja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 9:48 PM