KECEDERAAN yang dialami mangsa. FOTO NSTP
KECEDERAAN yang dialami mangsa. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Akibat cemburu, seorang wanita cedera di belakang badan dan kepala selepas dipukul bekas teman lelakinya sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 17 1/4, Kuang, Rawang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi, mangsa berusia 29 tahun menerima empat jahitan di kepala dan mengalami lebam di bahagian belakang badan selepas dihentak dengan kayu golf oleh bekas teman lelakinya.

Difahamkan, kejadian berlaku sewaktu wanita berkenaan menaiki kereta rakannya yang juga seorang lelaki yang ingin menghantar mangsa pulang ke rumah.

Bagaimanapun, mereka diekori sebuah Proton Saga dipandu bekas teman lelaki mangsa dan suspek menghalang laluan mangsa ketika mereka hampir sampai ke destinasi.

Suspek kemudian meluru ke arah kenderaan dinaiki mangsa sambil memegang kayu golf dan memecahkan cermin sisi penumpang dan memukul mangsa.

Lelaki berkenaan turut mengheret wanita itu ke dalam keretanya sebelum meninggalkan rakan mangsa di lokasi terbabit.

Suspek juga dikatakan mengugut mahu mencederakan wanita itu serta memukulnya sehingga pengsan.

Lelaki terbabit bagaimanapun menghantar wanita berkenaan pulang dan mangsa menceritakan kepada keluarganya mengenai kejadian itu sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh berhubung kejadian terbabit pada jam 3.05 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dilakukan bagi mengesan suspek.

“Siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah, Seksyen 427 KK kerana perbuatan khianat serta Seksyen 324 KK kerana mencederakan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 10:12 AM