SHAHRUDDIN merasmikan Program Gotong Royong Perdana 2019 di flat PPR Pudu Ulu. FOTO Hafiz Sohaimi
SHAHRUDDIN merasmikan Program Gotong Royong Perdana 2019 di flat PPR Pudu Ulu. FOTO Hafiz Sohaimi
Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan menyarankan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di semua kawasan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk mengadakan program gotong-royong dengan pengisian ‘2 dalam 1’ iaitu membersihkan kawasan tempat tinggal serta kerjasama baik antara pelbagai kaum.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata, ia boleh diadakan setiap minggu dalam usaha membentuk muafakat terbaik dalam kalangan penduduk dan itu boleh menjadi bibit perpaduan terbaik khususnya di ibu negara.

Katanya, banyak pihak melihat gotong-royong sebagai satu program membersihkan kawasan semata-mata, tetapi lebih daripada itu ia juga salah satu platform mewujudkan keharmonian kaum menerusi pendekatan bersama dalam apa juga aktiviti setempat.

“Bukan saja gotong-royong cuci kawasan, mereka juga boleh adakan kenduri, aktiviti lain, asalkan bersama. Ini bukan saja baik dalam konteks bermasyarakat, tetapi juga dapat membendung budaya tidak sihat seperti perkauman dan fitnah.

“Jadi kementerian ingin melihat lebih banyak lagi program sebegini diadakan untuk menyemai nilai murni dalam kalangan komuniti antara tiga kaum terbesar. Itu akan membentuk jalinan persefahaman dan timbul prasangka buruk,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Gotong Royong Perdana 2019 di PPR Pudu Ulu bersama pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan.

Dr Shahruddin berkata, kementerian sentiasa membuka ruang membantu persatuan penduduk yang ingin menjalankan program kemasyarakatan di kawasan mereka demi kebaikan bersama.

“Kita ada peruntukan yang boleh kita salurkan. Jadi buat aktiviti berfaedah, pada masa sama kita jalinkan muafakat dengan baik kerana ia penting untuk pembangunan negara. Kita akan sokong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 2:40 PM