JAINAB (dua dari kanan) memulakan program dengan berbasikal bersama peserta SFR.
JAINAB (dua dari kanan) memulakan program dengan berbasikal bersama peserta SFR.
Erdiehazzuan Ab Wahid

Pelaksanaan program keluarga berbasikal atau ‘Sunday Family Ride’ (SFR) yang bertemakan keluarga sihat tanpa dadah masyarakat sejahtera di Sabah berjaya mengeratkan hubungan kekeluargaan selain meningkatkan kesihatan.

Program yang dilaksanakan kerajaan Sabah sejak 2015 itu turut menjadikan berbasikal sebagai satu aktiviti sukan massa dan kecergasan masyarakat khususnya di Kota Kinabalu.

Aktiviti yang berlangsung di Taman Awam Teluk Likas pada Ahad minggu pertama setiap bulan itu berjaya menarik minat lebih 1,000 pengunjung untuk menyertai aktiviti berbasikal bersama keluarga selain mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan pantai.

Bagi tujuan pelaksanaan program itu, Jalan Tun Fuad Stephens akan di tutup bermula jam 5 hingga 9 pagi bagi membolehkan orang awam atau keluarga berbasikal dengan selamat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, objektif penganjuran SFR itu adalah bagi menggalakkan interaksi dalam kalangan keluarga dan komuniti melalui aktiviti riadah khususnya berbasikal.

Katanya, program itu turut menggalakkan keluarga dan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal.

“Program ini turut membawa mesej kepada pengguna jalan raya yang lain supaya berkongsi jalan raya dengan penunggang basikal selain mengelakkan kemalangan.

“SFR turut berupaya mewujudkan perpaduan dan menjalinkan perhubungan baik antara masyarakat dan pemimpin masyarakat setempat,” katanya.

Menerusi SFR, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya mampu mendidik masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan setempat.

“Program ini boleh meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan melalui aktiviti gotong-royong,” katanya.

Pengunjung cilik, Nuraqilah Arisa Madzaral, 10, berasa seronok menyertai program kemasyarakatan bersama keluarganya. Malah dia begitu teruja dapat melakukan senamrobik beramai-ramai.

“Setiap kali adanya program seperti ini, saya akan mengajak ibu bapa untuk hadir sama menyertai SFR tidak kiralah berbasikal, senamrobik atau gotong-royong. Selain berseronok, kami sama-sama berganding bahu menjaga kebersihan. Kini aktiviti bersama keluarga tidak lagi hanya terhad di rumah,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Dayang Rasidah Osman, 24, berkata, penganjuran SFR itu turut mendidik masyarakat untuk menjaga kebersihan setempat melalui aktiviti gotong-royong.

“Saya dan beberapa rakan lain tidak menyertai aktiviti berbasikal atau riadah lain namun saya lebih tertarik untuk membersihkan kawasan pantai yang sering dikunjungi orang ramai khususnya pelancong luar.

“Sudah pasti, aktiviti gotong-royong ini juga memberi pendidikan berguna untuk masyarakat betapa pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar yang menjadi imej kita semua,” katanya.

Perkara sama turut diakui rakannya, Resfeny Juanis, 23, yang gemar membuat kerja amal membersihkan kawasan persekitaran.

“Setiap bulan saya menyertai program SFR ini kerana melalui aktiviti ini, kita dapat berkenalan dengan pengunjung lain dan berkongsi pandangan bagi memperbanyak atau menambah baik aktiviti kemasyarakatan.

“Aspek kebersihan tidak boleh dipandang ringan. Ia mencerminkan sikap masyarakat dan boleh memberi kesan kepada banyak perkara. Jika satu kawasan itu kotor, nama baik kita akan terjejas dan sudah pasti pengunjung khususnya pelancong enggan datang ke sini lagi,” katanya.

Terdahulu, program SFR yang diadakan setiap bulan itu akan dianjurkan sbeberapa agensi dan jabatan kerajaan di Sabah secara bergilir-gilir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 5:04 AM