Penerima anugerah bergambar bersama Mujahid pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1441H. FOTO Bernama
Penerima anugerah bergambar bersama Mujahid pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1441H. FOTO Bernama
BERNAMA

BUKAN calang-calang pekerjaan dan tidak semua orang berupaya melaksanakan fardhu kifayah untuk menguruskan jenazah.

Hari ini jasa dan sumbangan Sitaton Osman yang bertanggungjawab menguruskan jenazah termasuk mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 mendapat pengiktirafan apabila dipilih Tokoh Pendakwah pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1441H.

Bertugas sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam JAWI, Sitaton bukan saja terbabit dalam memandi dan menguruskan jenazah tragedi yang menggemparkan negara lima tahun lalu tetapi juga pernah menguruskan mayat pesakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan HIV.

“Satu tugas paling mencabar apabila saya terbabit dalam menguruskan jenazah MH17 iaitu 38 orang selama 45 hari. “Sebenarnya hampir semua mayat itu sempurna anggota badan,” katanya ditemui selepas menerima anugerah itu.

Ditugaskan dalam pasukan enam orang untuk menguruskan jenazah mangsa MH17, Sitaton bersama seorang lagi petugas wanita bertanggungjawab menguruskan jenazah wanita yang terkorban dalam tragedi ngeri di Amsterdam itu.

“Pengalaman tidak mungkin saya lupakan juga adalah ketika menguruskan jenazah berpenyakit SARS.

“Oleh kerana ia adalah penyakit yang berjangkit dan tular ketika itu, kami tidak boleh mengangkat jenazah sewenang-wenangnya dan harus berada di tempat terkawal dengan peralatan terhad,” katanya yang juga ibu tunggal.

Berpengalaman 21 tahun menguruskan jenazah, Sitaton berkata, dia bersedia dan akur menerima arahan menguruskan jenazah tanpa mengira status dan keadaan.

“Apabila melaporkan diri di Unit Pengurusan Jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, saya sentiasa bersedia menerima arahan.

“Walaupun tidak ramai yang boleh lakukan tetapi saya ambil itu sebagai satu cabaran.

“Saya juga berpengalaman memandikan jenazah bukan Islam yang dimandikan dengan cara Islam atas permintaan keluarga,” katanya yang menerima RM4,000, kepingan emas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), piala iringan dan sijil.

Sitaton berharap masyarakat terutamanya golongan belia tidak memilih dan mengelak daripada tugasan yang diberi supaya mempunyai pengalaman dan ilmu luas.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad menerima anugerah Tokoh Utama Maal Hijrah yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

“Saya berbesar hati dan terharu dengan penganugerahan ini.

“Ia motivasi kepada saya untuk bekerja dengan lebih baik dan cermat sebagai seorang yang terus menyebarkan agama Islam,” katanya yang menerima wang tunai RM5,000, kepingan emas tajaan YaPIEM, piala iringan dan sijil.

Beliau turut menyeru umat Islam agar mengekalkan keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa dan agama untuk meningkatkan perpaduan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 9:51 PM