JAGDEEP Singh Deo (kiri) melihat bumbung rumah di Flat Mutiara Idaman 1, Jelutong, Georgetown yang rosak selepas ribut pada 9 Ogos lalu. FOTO Danial Saad.
JAGDEEP Singh Deo (kiri) melihat bumbung rumah di Flat Mutiara Idaman 1, Jelutong, Georgetown yang rosak selepas ribut pada 9 Ogos lalu. FOTO Danial Saad.
Zuhainy Zulkiffli


PENDUDUK Flat Mutiara Idaman 1, Jelutong, Georgetown yang terjejas akibat kejadian ribut di Pulau Pinang pada 9 Ogos lalu boleh menarik nafas lega kerana aduan mereka sudah mendapat tindakan daripada kerajaan negeri.

Malah, bumbung tujuh rumah terbabit didiami 15 penghuni itu sudah mendapat peruntukan daripada pihak berkenaan bagi dibaiki.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerja membaiki bumbung rumah penduduk akan dimulakan segera dan dijangka mengambil masa 14 hari untuk disiapkan.

Beliau berkata, kerja itu membabitkan baik pulih sistem siling, kekuda serta penutup bumbung rumah yang rosak akibat ribut berkenaan.

“Kerja berkenaan termasuk membaik pulih sistem pendawaian elektrik dan akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya Daerah Timur Laut.

“Kontraktor sudah dilantik dan kerja membaiki rumah itu dijangka membabitkan kos RM200,000.00,” katanya dalam sidang media di flat berkenaan, hari ini.

Sementara itu, penduduk, Mydin Mohd Yeusof, 50, berkata dia gembira dengan keputusan itu dan berharap segalanya berjalan dengan lancar.

“Syukur ada tindakan selepas 22 hari kejadian ribut berlaku, malah penduduk diberi rumah sementara, jadi tidak perlu lagi tinggal di dewan,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu menerusi laporan Harian Metro pada 23 Ogos lalu, penduduk mendakwa masih terdapat mangsa ribut tinggal di dewan orang ramai berikutan bumbung rumah mereka yang rosak dan belum diperbaiki.

Dalam kejadian pada 10 malam 9 Ogos lalu, hampir semua kawasan di Pulau Pinang dilanda ribut dan hujan lebat berikutan tempias taufan Lekima yang membadai Taiwan dan beberapa bahagian di wilayah China.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.2 juta bagi kerja pemulihan selepas bencana di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM977,910 digunakan bagi memperbaiki 93 struktur rosak akibat ribut.

“Sejak kejadian 9 Ogos lalu, 719 pokok sudah dibersihkan dan keseluruhannya membabitkan sisa pembersihan sebanyak 143 tan bagi diangkut ke tapak pelupusan sampah di negeri ini.

“Seramai 1,487 pekerja iaitu 753 daripada MBSP dan 734 daripada MBPP terbabit dalam pembersihan sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 9:42 PM