Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kerajaan Pulau Pinang meminta dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk memantau semua kluster Covid-19 yang aktif sebelum membuat pertimbangan untuk memohon supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan lebih awal.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri mengambil maklum keputusan kerajaan persekutuan menamatkan PKPB lebih awal di beberapa negeri semalam.

Bagaimanapun, katanya, Pulau Pinang tidak tergesa-gesa dan akan mengikuti apa sahaja yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memutuskan rantaian wabak berkenaan.

"Pada masa sekarang keselamatan dan kesihatan awam adalah keutamaan kerajaan negeri yang mana kita akan ikut apa sahaja saranan KKM.

"Sehingga kini kita mempunyai 11 kluster Covid-19 dan meminta kedua-dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Seberang Perai (MBSP) untuk menumpukan dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya dapat mengawal kluster ini daripada merebak.

"Jika semua 11 kluster ini dapat dikawal sepenuhnya, ketika itu barulah kita boleh pertimbang untuk memohon PKPB di Pulau Pinang ditamatkan lebih awal," katanya selepas Majlis Pelancaran eWallet Boost di MBSP, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai penamatan PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, Pulau Pinang bersedia untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap 130,000 pekerja asing di negeri ini seperti diarahkan kerajaan.

"Sebelum ini, kita sudah melaksanakan ujian saringan Covid-19 terhadap 14,000 pekerja asing ketika sektor pembinaan dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keputusannya negatif.

"Jadi kita tidak ada masalah untuk meminta semua pekerja asing termasuk mereka yang sebelum ini sudah melakukan ujian saringan untuk melaksanakan semula ujian berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 1:26 PM