MAYAT lelaki berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT lelaki berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI ditemui lemas selepas terjun di Sungai Klang berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 11.46 pagi tadi.

“Seramai 15 anggota termasuk Unit Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari Pasar Seni hingga ke Puchong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa berusia 40-an itu ditemui terapung di Kampung Petaling Bahagia, Jalan Klang Lama, 5.45 petang tadi.

“Mayat mangsa dibawa naik jam 6.14 petang tadi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 7:32 PM