ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dua lelaki warga Pakistan yang lemas di Sungai Klang berhampiran sebuah sekolah menengah di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, hari ini.
ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dua lelaki warga Pakistan yang lemas di Sungai Klang berhampiran sebuah sekolah menengah di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dua lelaki warga Pakistan ditemukan lemas di Sungai Klang berhampiran sebuah sekolah menengah di Jalan Tun Sambanthan, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.09 tengah hari tadi.

"Seramai 18 anggota bersama tiga jentera serta empat kayak dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, pasukan bomba bertugas dimaklumkan pihak polis terdapat dua lelaki warga Pakistan lemas di sungai berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi dilakukan oleh pasukan bomba bersama Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Kuala Lumpur di sekitar kawasan terakhir mangsa yang dilaporkan hilang menggunakan empat kayak dan dua peralatan selam.

"Kami menemukan mayat pertama jam 4.07 petang berhampiran Masjid Jamek Petaling pada jarak enam kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

"Mangsa kedua pula ditemui jam 4.10 petang di aliran sungai Lorong 4, Kampung Tengah iaitu 12 km jarak dari lokasi dilaporkan hilang dengan bantuan pasukan bomba dari BBP Puchong," katanya.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi yang turut disertai Unit PPDA Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu tamat jam 5.32 petang tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 8:07 PM