Che Adam (kanan) beramah mesra dengan penderma darah sempena Program Kempen Derma Darah ‘Darah Kami Demi Pertiwi’ anjuran APM di Kuala Terengganu hari ini. Foto Ghazali Kori
Che Adam (kanan) beramah mesra dengan penderma darah sempena Program Kempen Derma Darah ‘Darah Kami Demi Pertiwi’ anjuran APM di Kuala Terengganu hari ini. Foto Ghazali Kori
Hanneeyzah Bariah Baharin


“MENDERMA darah sudah umpama hobi saya. Alhamdulillah ia juga semakin menjadi ikutan anak buah,” kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Hari ini, beliau menderma darah buat kali ke-73 di Program Kempen Derma Darah ‘Darah Kami Demi Pertiwi’ anjuran APM di Kuala Terengganu.

Che Adam berkata, beliau gembira kerana amalannya untuk menderma darah setiap dua atau tiga bulan sekali selepas tempoh darah matang menjadi tauladan kepada pegawai dan anggota APM lain yang turut terpanggil untuk lebih kerap menderma darah.

“Alhamdulillah...ramai kalangan pegawai dan anggota APM semakin timbul kesedaran untuk menderma darah selepas melihat mangsa kemalangan atau bencana yang cedera dan perlu diselamatkan,” katanya yang mula menderma darah sejak berusia 19 tahun.

Pada program sama, lebih 75 pegawai dan anggota APM dari seluruh negeri menderma darah di program yang bermula 10 pagi hingga 3 petang itu.

Che Adam berkata, inisiatif memberikan hadiah cabutan bertuah kepada penderma darah membolehkan kempen derma berjaya melepasi sasaran penderma ditetapkan.

Beliau berkata, program derma darah itu berjaya merekodkan hampir 200 penderma berbanding sasaran awal 100 orang.

“Jika diikutkan jumlah yang datang ke program hari ini untuk menderma darah lebih tinggi, namun lebih 10 peratus daripada mereka tidak digalakkan menderma darah kerana faktor usia dan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Dungun Ramlan Ros Wahid, 52, berkata, keterujaan menderma darah pada kempen kali ini lebih bermakna kerana ia dilakukan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62 negara, sekali gus mengimbau jerit perih pejuang terdahulu menuntut kemerdekaan.

“Hari ini, adalah kali ke-21 saya menderma darah dan ini adalah sedikit bakti yang dapat saya curahkan untuk membantu pesakit yang memerlukan bekalan darah.

“Walaupun hanya dengan setitik darah, ia dapat membantu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 7:54 PM