Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan ke atas dagangan kayu dari Papua New Guinea yang dikesan mengandungi serangga perosak di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), semalam. FOTO Ihsan MAQIS
Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan ke atas dagangan kayu dari Papua New Guinea yang dikesan mengandungi serangga perosak di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), semalam. FOTO Ihsan MAQIS
Oleh Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menyita kayu berasal Papua New Guinea seberat 33.9 tan metrik yang dikesan mengandungi serangga perosak.

Dagangan yang dianggarkan bernilai RM186,000 itu dirampas dalam satu pemeriksaan rutin di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini, semalam.

MAQIS negeri dalam satu kenyataan hari ini memberitahu dagangan kayu jenis 'Pencil Cedar Baulks' (Palaquium warburgianum pencil).

"Hasil pemeriksaan menemukan serangga perosak pada dagangan kayu berkenaan di dalam sebuah kontena.

"Prosedur pintasan dan persampelan kemudian dijalankan terhadap konsainan ini dan sampel telah dihantar ke Makmal Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian.

"Keputusan Analisa Penyaringan Perosak mendapati spesis yang ditemui adalah jenis Long-horned beetle (Chloridolum dorycum) yang ia adalah spesis serangga perosak yang berisiko tinggi terhadap komoditi pertanian negara," katanya.

Katanya, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 4:37 PM