Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang cedera selepas kereta dinaiki terbabas. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang cedera selepas kereta dinaiki terbabas. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


LIMA pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke parit di Jalan Permatang, Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sungai Besar, Sabak Bernam hari ini.

Dalam kejadian 3 pagi itu, pemandu Perodua Axia, Muhammad Afdhal Mohd Radzi, 19, patah tangan kiri manakala penumpang hadapan, Shazuwan Satar, 19, parah kepala.

Sementara itu, tiga lagi mangsa juga berusia 19 tahun yang duduk di bahagian belakang tidak mengalami kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Sungai Besar menuju ke Sungai Lang.

“Tiba di lokasi, pemandu dipercayai mengelak kucing yang melintas secara tiba-tiba menyebabkan kereta itu terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke parit.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala penumpang hadapan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB),” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam Penolong Penguasa Bomba Mohd Saufi Zakaria berkata, lapan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 4:14 PM