TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Bekas anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan anggota tentera dalam cubaan rampasan senjata di pintu hadapan Kem Seri Pantai, 10 Februari lalu.

Tertuduh, Aminudin Mohamad,41, dari Bandar Permaisuri Setiu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sebelum Abdul Hayyi mengarahkan tertuduh ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, Johor untuk menjalani rawatan psikiatri.

Abdul Hayyi menetapkan 29 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan pisau terhadap Zaimi Mohd Jalani, 29, di pos pintu utama Kem Batalion Ke-18 Regimen Askar Melayu Diraja, Kem Seri Pantai, Kuala Nerus jam 1.55 tengah hari pada 10 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Minhad.

Akhbar sebelum ini melaporkan anggota tentera cedera di leher selepas ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki dalam cubaan merampas senjata mangsa iaitu selaras senapang jenis HK-MP5.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 6:15 PM