ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di pusat pendaratan ikan di Kampung Haji Ismail, Kuala Tatau. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di pusat pendaratan ikan di Kampung Haji Ismail, Kuala Tatau. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


PULUHAN sarang burung layang-layang yang hampir matang dan sedia untuk dituai antara yang musnah dalam kebakaran di pusat pendaratan ikan di Kampung Haji Ismail, Kuala Tatau, semalam.

Menurut sumber, kejadian 3.30 petang itu berlaku dengan pantas sehingga memusnahkan beberapa bangunan termasuk rumah sarang burung yang dibina di jeti nelayan berkenaan.

Walaupun tidak mengetahui jumlah sebenar sarang burung yang musnah, kerugian akibat kemusnahan itu dikatakan mencecah ribuan ringgit.

“Saya jangkakan banyak sarang burung yang sudah hampir matang dalam rumah berkenaan.

“Hampir sebahagian rumah burung itu musnah dan kerugian bukan saja ditaksirkan daripada kemusnahan sarang burung layang-layang, tetapi juga struktur bangunan serta sistem audio yang ditempatkan di bangunan itu,” katanya.

Kejadian itu turut memusnahkan stor penyimpanan gas memasak (LPG) di belakang bangunan pusat pendaratan ikan itu.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu Irwin Abidin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.36 petang.

Susulan itu, 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dikejarkan ke lokasi dan tujuh anggota dari BBP Bintulu turut dikerah membantu.

“Jentera pertama sampai di lokasi pada 4.21 petang dan mendapati beberapa struktur di pusat pendaratan ikan itu sudah musnah sepenuhnya iaitu sebuah stor penyimpanan LPG, dua blok rumah sewa, sebuah motosikal dan sebuah bot, manakala rumah burung pula musnah kira-kira 20 peratus.

“Berdasarkan maklumat saksi kejadian, api dikatakan bermula dari bahagian penyimpanan LPG sebelum memusnahkan struktur bangunan dan merebak ke blok berhampiran,” katanya.

Katanya, pihaknya menghadapi kesukaran dalam operasi itu apabila jentera tidak dapat masuk ke tempat kejadian kerana laluan sempit dan terpaksa meninggalkan jentera kira-kira satu kilometer dari lokasi kebakaran.

“Anggota terpaksa menggunakan enjin pam yang diangkut ke lokasi dan menggunakan sumber air sungai berdekatan. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta mentaksir jumlah kerugian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 11:14 AM