Rosli Ilham


“SAYA lega ibu akhirnya ditemui selepas enam hari hilang biarpun dia sudah meninggal,” kata Louis Pang, 24, anak kepada peserta kayak warga Singapura, Puah Geok Tin, 57.

Mayat Puah ditemui terapung pada jarak 5.4 batu nautika dari Kuala Kemaman semalam selepas dilaporkan hilang, sejak 8 Ogos lalu.

Mayat mangsa disahkan Louis yang juga anak bongsu wanita terbabit selepas membuat pengecaman serta barangan yang terdapat pada ibunya.

Dia yang kali terakhir bertemu ibunya pada 7 Ogos lalu turut berterima kasih kepada pihak berkuasa di Malaysia yang bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat ibu bersama rakannya.

“Terima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua yang terbabit termasuk nelayan yang membantu usaha pencarian ini.

“Pertolongan diberikan semua pihak sangat bermakna kerana saya dapat berjumpa ibu walaupun dia sudah tiada selain berharap rakan ibu segera ditemui,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman, Chukai, hari ini.

Mayat Puah ditemui terapung dengan keadaan mukanya yang hancur kira-kira 5.4 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Mayat mangsa yang lengkap dengan jaket keselamatan dan berpakaian seluar hitam serta baju-T lengan panjang merah itu ditemui nelayan, Ahmad Fasri Ariffin, 44, kira-kira 11 pagi.

Sebelum ini, dua pelancong Singapura hilang ketika berkayak dengan sekumpulan 15 rakan di perairan Mersing pada 8 Ogos lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, mangsa hilang membabitkan lelaki dan wanita, masing-masing dikenali Tan Eng Soon, 62, dan Puah.

Berita berkaitan:

  • Jumpa mayat disyaki pelancong berkayak [METROTV]
  • Pelancong berkayak hilang
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:06 PM
    LOUIS Pang ketika ditemui di Hospital Kemaman. FOTO Imran Makhzan
    LOUIS Pang ketika ditemui di Hospital Kemaman. FOTO Imran Makhzan