FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli

PEKERJA wanita di sebuah Taska mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan meninggalkan seorang bayi berusia tiga bulan bersendirian sehingga meninggal dunia, Mac lalu.

Tertuduh, Noridayu Mohamad Fauzi, 24, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan penganiayaan terhadap seorang bayi lelaki yang ketika kejadian berusia tiga bulan, dengan meninggalkan kanak-kanak itu bersendirian sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah Taska di Jalan PUJ 1/2, Taman Puncak Jalil, Bandar Putera Permai, Seri Kembangan, pada 10 pagi, 23 Mac lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak menawarkan sebarang jaminan, namun pihaknya menyerahkan jumlah jaminan atas budi bicara mahkamah, sekiranya dibenarkan.

Bagaimanapun, peguam Najib Zakaria yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah atas alasan tertuduh tidak lagi mempunyai pendapatan kerana tidak bekerja.

Hakim Azwarnida Affandi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 3:05 PM