Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


BERMODALKAN RM220 untuk setiap penyertaan, mat rempit di Batu Pahat sanggup mempertaruhkan nyawa menyertai perlumbaan haram yang dianjurkan di sekitar daerah itu.

Namun baru saja memanaskan enjin, hasrat bergelar ‘juara’ tidak kesampaian apabila mereka digempur polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman hari ini.

Bertempat di Jalan Kluang, 18 individu termasuk penganjur ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan 2.30 pagi selepas disyaki terbabit secara langsung dalam aktiviti perlumbaan haram.

Pegawai Turus Risikan Operasi JSPT Bukit Aman, Asisten Superintendan Norlatifah Samsudin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas tiga kenderaan pacuan empat roda dan tiga motosikal dipercayai digunakan dalam perlumbaan berkenaan.

“Wang penyertaan bagi setiap motosikal adalah RM220 yang mana RM20 untuk penganjur dan RM200 untuk pemenang.

“Operasi ini adalah hasil aduan awam dan risikan polis. Kita dapati mereka turut menguji kelajuan sebelum memulakan perlumbaan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20-an dan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Menurut Norlatifah, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 41(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 4:14 PM