ANTARA individu yang ditahan dalam operasi dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, semalam.
ANTARA individu yang ditahan dalam operasi dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


SERDANG: Enam penganjur lumba haram antara 27 lelaki ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran sebuah stesen minyak di sini, awal pagi semalam.

Operasi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Bukit Aman jam 1 pagi semalam.

Pegawai Turus Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman Asisten Superintendan Norlatifah Samsudin berkata, operasi dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat penganjuran perlumbaan haram motosikal Yamaha 135LC diadakan di lebuh raya berkenaan melalui penyebaran mesej di aplikasi WhatsApp.

“Ketika pemerhatian dilakukan terhadap sekumpulan remaja bersama motosikal Yamaha 135LC masing-masing, kami mengenal pasti enam lelaki yang melakukan pemeriksaan pada empat motosikal dipercayai digunakan dalam perlumbaan haram berkenaan.

“Hasil pengecaman mendapati mereka yang terdiri daripada pelajar kolej, pegawai keselamatan, pelayan dan penjaga tempat letak kenderaan berusia antara 18 hingga 23 tahun itu penganjur perlumbaan haram terbabit,” katanya selepas mengetuai operasi itu.

Norlatifah berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati penganjur menetapkan wang penyertaan RM350 bagi setiap penunggang motosikal.

“Daripada jumlah itu, penganjur memperoleh RM50 setiap penyertaan sebelum semua wang pertaruhan diberi kepada pemenang.

“Tindakan pantas dilakukan Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman berjaya menghalang penganjuran perlumbaan haram itu daripada berlangsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 5:40 AM