PDRM sedang meneliti perancangan mengambil tindakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap individu menganjurkan perlumbaan haram. FOTO Arkib NSTP
PDRM sedang meneliti perancangan mengambil tindakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap individu menganjurkan perlumbaan haram. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang meneliti perancangan mengambil tindakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap individu menganjurkan perlumbaan haram.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah membanteras kegiatan berkenaan yang dilihat semakin berleluasa.

"Antara langkah boleh diambil termasuk membuat profil individu disyaki menjadi penganjur berdasarkan maklumat risikan serta tangkapan lumba haram sebelum tindakan POCA dikenakan terhadap penganjur terbabit.

"Ketika ini, perancangan masih di peringkat awal dan belum ada pelaksanaan tindakan itu dalam jabatan ini. Kami memerlukan pengetahuan dengan berkongsi informasi bersama dengan jabatan lain yang sudah melaksanakan tindakan itu.

"Ia dilihat sebagai satu tindakan efektif jika mahu mengurangkan aktiviti berkenaan memandangkan hukuman mengikut akta itu seperti buang daerah boleh dikenakan terhadap penganjur terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Azisman berkata, pihaknya mengambil pendekatan untuk merekod kesalahan individu yang merempit supaya mereka serik daripada melakukan kegiatan itu.

Beliau berkata, semua pesalah merempit yang ditahan akan direkodkan supaya orang ramai lebih berhati-hati daripada terjerumus dengan aktiviti itu memandangkan rekod berkenaan akan kekal dalam sistem polis.

"Ia secara tidak langsung memberikan rekod buruk kepada individu berkenaan terutama kepada masa depan anak muda.

"Kami dalam usaha memperkuasakan Skuad 42 untuk mengekang kegiatan lumba haram terutama dalam kalangan remaja.

"Selain itu, kami akan mengambil tindakan pengawasan terhadap bengkel serta individu melakukan pengubahsuaian motosikal mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan itu kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 5:21 PM