HASAN Basri Yahya. FOTO Nuraliawati Sabri
HASAN Basri Yahya. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: Lebih RM1.15 juta dikutip polis Melaka hasil tunggakan saman yang dijelaskan pesalah trafik dalam tempoh tiga hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, jumlah itu diperoleh menerusi program pengurangan saman 50 peratus sempena Hari Polis Ke-214.

Beliau berkata, bermula Khamis sehingga hari terakhir semalam lebih 2, 300 pembayar yang hadir menjelaskan saman atas pelbagai kesalahan trafik.

"Sebanyak 10, 068 saman lalu lintas termasuk 6, 499 Pol. 170A dan selebihnya Pol. 257 diselesaikan pesalah trafik sehingga semalam.

"Sejumlah RM870,010 dikutip melalui pembayaran tunai manakala RM282,030 pula dibuat melalui pembayaran kad kredit menjadikan jumlah keseluruhan RM1,152,040," katanya.

Menurutnya, program pengurangan saman ini secara tidak langsung dapat mengurangkan tunggakan saman trafik.

"Jumlah kutipan itu tidak termasuk saman antaranya saman kemalangan, saman status waran tangkap, potong secara bahaya (potong Q), menggunakan lorong kecemasan, potong di garisan berkembar antara 2020 hingga 2021.

"Malah turut tidak mendapat pengecualian potongan 50 peratus adalah saman berkaitan ubah suai ekzos yang dikeluarkan bermula 1 Mac lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 9:54 AM