Norizuan Shamsuddin


TIGA mangsa hilang di laut tiba di jeti Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Mangsa, Fauzi Mohamad, 40; Mohammad Firdaus Mohd Awalludin, 25, dan Mohamad Hafiz Abdul Rahim, 22, menaiki bot APMM tiba jam 8.45 pagi.

Difahamkan, semua mangsa bersama Kapal Maritim (KM) Pekan dari Pelantar Minyak Bunga Orkid milik PETRONAS hingga ke Muara Kuala Terengganu sebelum menaiki bot APMM, kira-kira jam 7 pagi.

Ketibaan mereka dijemput Pengarah APMM Terengganu, Kepten (Maritim) Muhammad Suffi Mohd Ramli, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan APMM, Mohd Yusoff Aman dan pihak pengurusan resort (majikan).

Bagaimanapun, hanya beberapa ahli keluarga mangsa sahaja hadir di lokasi dan difahamkan mereka menunggu di resort disediakan pihak majikan di Dungun.

Semua mangsa kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapat rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang bertemu ahli keluarga masing-masing.

Rabu lalu, portal berita Harian Metro melaporkan bot pelancong dinaiki mangsa iaitu dua pemandu bot dan seorang pekerja resort tidak tiba di Resort Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, kira-kira jam 12 tengah hari.

Kehilangan mereka menyebabkan pihak pengurusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, jam 4 petang.

Selepas tiga hari dilaporkan hilang, tiga pekerja resort diselamatkan bot nelayan laut dalam tempatan dikendalikan warga Thailand di sempadan perairan negara sebelum dibawa ke Pelantar Minyak Bunga Orkid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 10:33 AM
MUHAMMAD Suffi (dua kiri) mengatakan sesuatu kepada mangsa sebaik tiba di jeti APMM Kuala Terengganu. FOTO IMRAN MAKHZAN
MUHAMMAD Suffi (dua kiri) mengatakan sesuatu kepada mangsa sebaik tiba di jeti APMM Kuala Terengganu. FOTO IMRAN MAKHZAN