Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Tangisan kesyukuran menyambut ketibaan 10 pemancing dan tiga kru yang dikhuatiri hilang sebelum ini sebaik mereka tiba di Jeti Maritim Malaysia, di sini, hari ini.

Kesemua mangsa yang berusia antara 32 hingga 52 tahun selamat tiba di jeti kira-kira jam 9 pagi selepas tujuh hari hanyut di lautan.

Mereka ditemukan kapal pembekal Setia Teguh milik Petrofac jam 1.40 tengah hari semalam berhampiran pelantar Cendor iaitu kira-kira 80 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, KM Redang berjaya menemui mangsa di pelantar kira-kira jam 8 malam.

Beliau berkata, pihaknya kemudian memindahkan mangsa ke kapal APMM dan menunda bot dinaiki mereka yang mengalami kerosakan.

"Kita mengambil masa kira-kira 12 jam untuk sampai ke jeti berikutan keadaan laut serta cuaca yang tidak menentu.

"Malah, ketika menunda bot mereka, tali turut putus kerana keadaan ombak dan laut bergelora.

"Alhamdulillah, semua mangsa selamat dan kita akan menahan tekong dan dua kru untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui kepada pemberita di pejabat Maritim Malaysia, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan 10 pemancing bersama tiga kru dikhuatiri hilang di laut selepas bot dinaiki mereka tidak pulang sejak Rabu.

Kejadian itu menyebabkan ahli keluarga mangsa membuat laporan polis sebelum operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 11:56 AM