Oleh Zaid Salim


KESERONOKAN 12 pemancing memancing di kawasan berhampiran Pelantar Tapis R kira-kira 120 batu nautika daripada pantai Kuala Terengganu bertukar cemas apabila bot dinaiki mengalami kerosakan pada bahagian kipas enjin selepas tiga hari di laut.

Namun, kesemua mereka berjaya diselamatkan kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu yang menjalankan rondaan Ops Iman di kawasan berkenaan selepas dua hari tersadai di kawasan berkenaan, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sejurus menerima maklumat Kapal Maritim (KM) Langkawi yang berada berhampiran lokasi kejadian digerakkan ke lokasi berkenaan bagi menyelamatkan kesemua mangsa jam 1 pagi.

Katanya, pihaknya mengambil masa selama 19 jam bagi membawa balik bot berkenaan ke jeti APMM Terengganu sebelum tiba jam 10 malam tadi.

Beliau berkata, bot bersama semua mangsa ditunda KM Langkawi menggunakan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan sebelum itu.

Bot yang mengalami kerosakan bersama 12 pemancing dan pengusaha bot ditunda menggunakan bot Vietnam yang ditahan sebelum itu untuk dibawa ke jeti APMM, Pulau Kambing. FOTO IHSAN APMM
Bot yang mengalami kerosakan bersama 12 pemancing dan pengusaha bot ditunda menggunakan bot Vietnam yang ditahan sebelum itu untuk dibawa ke jeti APMM, Pulau Kambing. FOTO IHSAN APMM

"Ketika ditemui kesemua mangsa berusia antara 30 hingga 56 tahun berada dalam keadaan selamat.

"Difahamkan sepanjang tersadai di kawasan berkenaan, mangsa mendapat bekalan makanan daripada bot pembekal makanan yang beroperasi di pelantar berkenaan," katanya.

Kesemua mangsa membabitkan tiga orang daripada Besut dipercayai pengusaha bot dan kru manakala 10 lagi adalah pemancing dari Pahang yang menyewa bot berkenaan.

Susulan kejadian itu, Muhammad Suffi menasihatkan pengusaha bot yang menjalankan perkhidmatan memancing tidak membawa penumpang ke lokasi terlalu jauh bagi tujuan keselamatan.

Katanya, dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, sebarang kemungkinan akan berlaku selain keadaan fizikal bot yang kecil dan tidak selamat untuk berada di laut dalam.

"Memancing di kawasan berhampiran pelantar adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Bot berkenaan ditemui kira-kira 0.5 batu nautika dari Pelantar Tapis R dan ia terlalu dekat sedangkan kawasan yang dibenarkan adalah 500 batu nautika dari pelantar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 4:56 PM