ARIFFIN (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas melawat keluarga mangsa di Jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
ARIFFIN (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas melawat keluarga mangsa di Jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


KERAJAAN negeri Terengganu akan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis dalam masa terdekat bagi mempertingkatkan keselamatan dalam sektor pelancongan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, jawatankuasa itu akan mempercepatkan tindakan diambil sekiranya berlaku sesuatu kemalangan atau bencana.

“Saya sudah mengarahkan semua jawatankuasa pembangunan pelancongan daerah supaya melaksanakan perkara itu dengan segera.

“Jawatankuasa itu mampu bertindak pantas mengambil tindakan seperti kejadian menimpa tiga pekerja resort yang hilang di laut pada Rabu lalu.

“Jawatankuasa itu terdiri daripada pelbagai agensi beruniform, keselamatan, kebajikan dan kesihatan di setiap daerah dengan pegawai daerah akan bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa itu,” katanya selepas melawat keluarga mangsa bot hilang di Jeti Kampung Rajawali, Pulau Serai, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian Rabu lalu, tiga pekerja resort, Fauzi Mohamad, 40; Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25; serta Mohamad Hafiz Abd Rahim dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Pulau Tenggol.

Bot gentian kaca dinaiki mereka dipercayai mengalami kerosakan enjin dan hanyut sebelum ditemui kira-kira 112 batu nautika dari Dungun.

Semua mangsa ditemui selamat pada 11.45 malam tadi oleh bot nelayan laut dalam tempatan yang terdiri daripada tekong dan awak-awak warga Thailand sebelum diseragkan kepada Support Vessel JATI 4 berhampiran pelantar minyak Bunga Orkid yang terletak kira-kira 150 batu nautika dari Kuala Dungun.

Ariffin berkata, dalam kes kehilangan tiga pekerja resort itu, pihaknya mendapati banyak kelemahan sehingga menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) agak lambat.

“Sebagai contoh, usaha mengesan alat sistem pengesan global (GPS) mengambil masa yang lama kerana perlu mendapat kelulusan pihak polis.

“Situasi itu melambatkan operasi pencarian kerana bot berkemungkinan hanyut lebih jauh dalam tempoh 30 minit,” katanya.

Beliau berkata, kes sedemikian boleh menjejaskan sektor pelancongan negeri kerana kebanyakan produk pelancongan popular di Terengganu adalah pantai dan laut.

Menurutnya, kerajaan negeri berusaha menaik taraf sistem telekomunikasi di semua kawasan pelancongan di negeri ini termasuk di pulau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli berkata, kerajaan negeri bercadang membina sebuah menara telekomunikasi bernilai RM500,000 di Pulau Tenggol bagi kemudahan pelancong serta nelayan menyalurkan maklumat berhubung kemalangan atau bencana.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Gobind Singh Deo bagi menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

“Alat komunikasi itu sangat penting bukan sahaja buat nelayan, malah ribuan pelancong yang berkunjung ke pulau peranginan berkenaan.

“Pada masa ini, isyarat perhubungan di pulau berkenaan sangat lemah kerana menggunakan pemancar dari bandar Dungun dan itu menyulitkan pelancong dan nelayan untuk berhubung.

“Banyak kejadian bot karam dan lemas dicatatkan di perairan berkenaan dan apabila berlaku kecemasan atau kemalangan seperti itu, ia menyulitkan semua pihak untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa," katanya.

Berita berkaitan

'APMM bawa pulang 3 pekerja resort'

'Allah makbulkan doa saya hari ini'

Alhamdulillah semua selamat

Mereka mungkin hanyut ke Vietnam

'Semoga pencarian tiga lelaki dipermudahkan'

'Impikan hadiah hari jadi terindah'

''Kami tak buat begitu, malu betul...''

'Pencarian diperluaskan'

'Rahsiakan daripada ibu'

'Doakan anak saya selamat'

Jangan sebar maklumat palsu boh!

'Firasat saya, mereka masih hidup'

Pencarian sehingga 10 batu nautika

Tiga lelaki tak sampai-sampai...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 10:33 PM