Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WANITA Indonesia dan bayi lelakinya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) selepas disyaki memperoleh kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu, semalam.

Pengarah Imigresen Perlis, Basri Othman berkata, wanita berusia 20 tahun dan bayinya berusia setahun, ditahan di Kangar pada 2 pagi selepas kad berkenaan didapati diperoleh tanpa prosedur sah.

Katanya, selain mereka 18 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan sempena Op Bersepadu yang dijalankan pada 31 Julai hingga semalam.

“Wanita itu mendakwa dia bersama anaknya adalah pelarian dari Myanmar dan tinggal bersama seorang lelaki yang juga pemegang kad UNHCR dari negara itu.

“Pihak kami mengesyaki dia memperoleh kad itu dengan cara menipu pegawai di UNHCR tetapi dia tidak boleh pun bercakap dalam bahasa Myanmar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Basri berkata, pihaknya mengeluarkan empat notis saman kepada empat lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun, dipercayai majikan wanita itu kerana bersubahat membantunya memperoleh kad UNHCR.

“Dalam operasi itu juga, 21 kawasan pembinaan diserbu bagi mengesan warga asing yang tinggal haram dan hasilnya, 17 lelaki dan seorang wanita.

“Mereka berusia 20 hingga 45 tahun adalah warga Bangladesh dan Indonesia. Mereka ini tinggal di pedalaman dan kawasan kampung bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain mudah larikan diri ke dalam hutan,” katanya.

Beliau berkata, semua tahanan dihantar ke depot tahanan sementara dan disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 11:26 AM