MANGSA dibawa ke Hospital Tambunan dan dilaporkan stabil. FOTO Ihsan Bomba.
MANGSA dibawa ke Hospital Tambunan dan dilaporkan stabil. FOTO Ihsan Bomba.
Fardy Bungga


KANAK-KANAK lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih dua jam selepas kakinya tertusuk pisau mesin pembajak di Kampung Tingkolod, Tambunan, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, Alexander Neo Junin, 11, dikatakan sedang membantu ahli keluarganya membajak tanah untuk tanaman.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai berdiri terlalu hampir dengan jentera berkenaan menyebabkan kaki kirinya ditusuk pisau pembajak.

Pegawai Kanan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.54 petang.

KAKI mangsa tertusuk pisau mesin pembajak cuba dikeluarkan dengan bantuan bomba. FOTO Ihsan bomba.
KAKI mangsa tertusuk pisau mesin pembajak cuba dikeluarkan dengan bantuan bomba. FOTO Ihsan bomba.

Katanya, sepasukan lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Ranizan Samirin ke lokasi kejadian yang terletak 35 kilometer memberi bantuan.

“Pasukan terpaksa membuka bilah pisau berkenaan menggunakan peralatan khas sebelum mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tambunan menaiki jentera EMRS untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada 6 petang dan kanak-kanak itu dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 3:40 PM