KANAK-KANAK lelaki menahan sakit lebih sejam selepas paha kanannya tertusuk besi dipercayai tergelincir ketika bermain di tangki air di Pos Sungai Pelantok, Ulu Kuang, Sungai Siput. FOTO IHSAN BOMBA
KANAK-KANAK lelaki menahan sakit lebih sejam selepas paha kanannya tertusuk besi dipercayai tergelincir ketika bermain di tangki air di Pos Sungai Pelantok, Ulu Kuang, Sungai Siput. FOTO IHSAN BOMBA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SEORANG kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit lebih sejam selepas paha kanannya tertusuk besi dipercayai tergelincir ketika bermain di tangki air di Pos Sungai Pelantok, Ulu Kuang, Sungai Siput, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.36 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput diarahkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, anggota mendapati kanak-kanak lelaki Orang Asli berusia lapan tahun menahan kesakitan akibat paha kanannya tercucuk besi.

“Difahamkan kanak-kanak itu sedang bermain dan memanjat tangki berkenaan sebelum tergelincir menyebabkan paha kanannya tertusuk salah satu besi tangki air.

“Anggota EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) yang dikejarkan ke lokasi kejadian juga membantu memberikan rawatan awal sebelum besi berkenaan berjaya dipotong,” katanya dalam kenyataannya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Siput menaiki jentera EMRS sebelum operasi ditamatkan jam 3.06 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 5:04 PM