Keadaan rumah dua beradik yang dirompak semalam. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan rumah dua beradik yang dirompak semalam. FOTO Ihsan PDRM
Garret Dawum


“DIAM jangan tengok, kalau tengok nanti kau mati.” Itu amaran diterima dua beradik dalam rompakan di rumah mereka di Jalan Bau-Tondong, Bau semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, kedua-dua mangsa sedang tidur sebelum dikejutkan empat lelaki bertopeng dan berpakaian gelap.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, dua suspek dengan seorang daripadanya memegang parang bertindak mengikat tangan dan kaki kedua-dua mangsa dengan tali.

“Selain itu, mulut kedua-dua mangsa juga ditutup dengan kain. Keempat-empat suspek melarikan kereta Honda City, tiga unit telefon bimbit dan wang tunai RM1,000.

“Susulan itu, mangsa yang berusia 34 tahun membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur di bahagian belakang rumah.

“Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan dan kes masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 11:16 AM