EMPAT suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Samarahan untuk tahanan reman.
EMPAT suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Samarahan untuk tahanan reman.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kota Samarahan: Seorang lelaki yang bersekongkol dengan bapa dan dua adik lelaki merogol dua anak perempuannya direman tujuh hari bermula semalam oleh Mahkamah Majistret, di sini.

Perintah tahanan reman terhadap empat beranak itu dikeluarkan Majistret Dayang Roselind Awang Mahdini.

Tertuduh adalah bapa berusia 42 tahun, datuk (57 tahun) dan bapa saudara (26 tahun dan 28 tahun) yang berpakaian lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 1 tengah hari sebelum keluar sejam kemudian selepas mendapat perintah reman.

Permohonan reman itu membolehkan pasukan polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun selain sebatan.

Perbuatan jijik semua tertuduh terbongkar selepas seorang mangsa berusia 19 tahun disahkan mengandung 25 minggu ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Serian, jam 2.30 petang kelmarin.

Susulan daripada pemeriksaan itu, mangsa mendedahkan adiknya berusia 14 tahun turut menjadi mangsa perbuatan keji semua tertuduh sejak lima tahun lalu.

Pasukan polis yang dimaklumkan mengenai kejadian menahan semua suspek di Kampung Daha Seroban, Serian.

Sementara itu, sumber berkata, kedua-dua mangsa iaitu anak sulung dan bongsu kini tinggal bersama datuk dan nenek sebelah ibunya.

Menurutnya, ibu mangsa meninggal dunia sejak beberapa tahun lalu.

“Mangsa yang mengandung dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan lanjut dan polis akan memanggil neneknya untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:15 AM