PEMBEKAL baja menceritakan pengalaman membeli baja bersubsidi kepada wartawan.
PEMBEKAL baja menceritakan pengalaman membeli baja bersubsidi kepada wartawan.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: “Saya memang suka apabila dapat beli baja bersubsidi berkualiti dengan harga murah sebab kita tahu ia ada standard yang perlu dipatuhi tidak seperti di luar,” kata pembekal baja yang hanya ingin dikenali sebagai Abu Bakar.

Menurutnya, biasanya baja yang diperoleh daripada pembekal luar RM150 untuk satu beg mengandungi 50 kilogram (kg) bagi padi matang.

“Apabila beli baja bersubsidi harganya hanya antara RM25 hingga RM30 bagi beg berisi 20kg hingga 25kg.

“Saya dapat berjimat hampir RM1,000 untuk satu tan baja dan bayangkan untuk setahun saya dapat beli 10 tan baja daripada pesawah, sekali gus mampu mengurangkan kos hingga RM10,000 dengan membeli baja bersubsidi daripada pesawah yang berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Mereka (pesawah) menjual baja bersubsidi yang diperoleh itu kerana sudah tidak lagi mengusahakan tanaman berkenaan, tetapi namanya tidak dikemas kini oleh PPK untuk dikeluarkan daripada penerima baja bersubsidi.

“Jika dilihat pada sebelah pihak, ia menguntungkan golongan seperti saya kerana dapat membeli baja yang murah, tetapi kerajaan menanggung kerugian disebabkan sikap pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Abu Bakar berkata, Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) yang diperkenalkan untuk memastikan petani mendapat bekalan baja bermutu dan berkualiti seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, skim yang diperkenalkan sejak 1998 dilihat menjadi barah yang mendatangkan kerugian kepada negara disebabkan sikap tamak sesetengah pihak.

LAPORAN muka depan Harian Metro, Khamis lalu.
LAPORAN muka depan Harian Metro, Khamis lalu.

“Niat kerajaan sudah bagus, tetapi sikap tamak sesetengah pihak yang melakukan penyelewengan sama ada membabitkan individu di dalam agensi berkenaan atau dalam kalangan pesawah sendiri mengambil kesempatan mengaut keuntungan.

“Kecewa juga apabila melihat ada kalangan pesawah yang berdaftar dengan PPK menerima baja subsidi walaupun tidak lagi mengusahakan tanaman berkenaan.

“Berdasarkan pandangan saya, hal seperti ini berlaku sebab pihak berkaitan iaitu PPK tidak mengemas kini data yang ada hingga berlaku ketirisan seperti mungkin ada sesetengah pesawah berdaftar sudah meninggal dunia atau tidak lagi mengusahakan tanaman berkenaan, tetapi tetap juga menerima baja subsidi itu,” katanya.

Menurutnya, jika PPK mempunyai 100 ahli berdaftar memang baja subsidi itu akan diberikan kepada mereka yang berdaftar tetapi ketirisan berlaku dalam kalangan pesawah yang bertindak menjual semula baja itu kepada pihak lain.

“Ketirisan ini tidak akan berlaku sekiranya PPK sentiasa mengemas kini data pesawah yang ada seterusnya hanya mereka yang benar-benar mengusahakan tanaman padi saja yang layak menerima subsidi itu.

“Saya tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada PPK kerana penyelewengan tidak berlaku jika pesawah juga jujur,” katanya.

Menurut Abu Bakar, sudah sampai masanya kerajaan menghapuskan subsidi dalam pertanian jika tidak mahu berterusan menanggung kerugian disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

Katanya, jika subsidi dalam pertanian dihapuskan, kerajaan akan tahu golongan mana yang benar-benar mengusahakan tanaman dengan betul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 6:20 AM