Kereta yang merempuh dapur rumah semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Kereta yang merempuh dapur rumah semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KERETA terbabas sebelum merempuh dapur sebuah rumah di simpang Lubok Jambu, Kampung Binjai, Kota Bharu semalam.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, tiada kecederaan dilaporkan dan hanya bahagian dapur rumah musnah akibat rempuhan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian itu membabitkan dua kereta iaitu Toyota Camry dan Proton Saga.

Katanya, sebelum kejadian, Proton Saga dipandu lelaki berusia 49 tahun dalam perjalanan dari arah Pendek menghala ke Mulong dan sebaik tiba di simpang Lubok Jambu, dia memperlahankan kereta untuk membelok ke kanan.

Katanya, kemudian datang kereta Toyota Camry yang dipandu lelaki berusia 47 tahun dari arah belakang dan bergesel di bahagian belakang sebelah kiri Proton Saga.

“Akibat perlanggaran, pemandu Toyota Camry gagal mengawal kereta dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh dapur rumah milik lelaki berusia 40 tahun.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati sistem jalan mempunyai dua lorong dan dua hala serta keadaan cuaca cerah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, rumah berkenaan berada di kiri jalan dari arah Pendek menghala ke Mulong dan terlalu rapat dengan bahu jalan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 2:16 PM