ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa tersepit di Jalan Persiaran Perdana, di sini, semalam. Foto Khairul Najib Asarulah Khan
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa tersepit di Jalan Persiaran Perdana, di sini, semalam. Foto Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


SEORANG pemuda menahan kesakitan lebih 20 minit apabila kedua-dua kakinya tersepit sebaik kereta dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Persiaran Perdana, berhampiran Kolej Inti, Nilai, awal pagi hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Nilai, Mohd Fauzi Shamir berkata, pada kejadian 3.10 pagi, mangsa, S Supentharan, 23, memandu kereta Perodua Kancil berseorangan.

Katanya, kenderaan dipandu mangsa dari arah Jalan Persiaran Korporat menuju ke Taman Desa Melati hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah kereta Proton Saga.

"Akibat kemalangan, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu manakala kereta Proton Saga terbabas ke bahu jalan," katanya.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.12 pagi mengerahkan tujuh anggota ke lokasi.

"Sebaik tiba pada 3.22 pagi, mangsa didapati menahan kesakitan dan anggota memerlukan 12 minit bagi mengeluarkannya," katanya.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta berdekatan manakala pemandu Proton Saga berusia 28 tahun tidak cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 2:59 PM