BAYI tahun baru yang dilahirkan di HTAA, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.
BAYI tahun baru yang dilahirkan di HTAA, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


DUA wanita berkongsi kegembiraan melahirkan cahaya mata pada permulaan 2020, hari ini.

Nur Sharmini Ibrahim, 25, melahirkan bayi sulungnya pada 5.36 pagi, manakala Nor Zatul Syamila Mohd Nor, 29, pada 8 pagi.

Kedua-duanya melahirkan anak perempuan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan turut menerima sumbangan hamper yang disampaikan Timbalan Pengarah Perubatan 2 Datuk Dr Daud Othman.

Nor Zatul Syamila berkata, dia sepatutnya melahirkan anak keduanya itu pada 26 Junuari namun, sudah tidak sedap badan sejak semalam.

“Saya ingatkan saya sakit perut biasa tetapi lama-kelamaan sakit semakin kuat dan saya minta suami bawa saya ke hospital segera.

“Alhamdulillah saya selamat melahirkan bayi seberat 2.5 kilogram (kg) pada 8 pagi. Rupanya dia nak jadi bayi tahun baru,” katanya ketika ditemui.

Sementara Nur Sharmini pula tidak meletakkan harapan tinggi untuk melahirkan bayi perempuannya, hari ini meskipun sudah dalam jangkaan.

“Sejak awal kandungan memang doktor jangka ‘due date’ saya hari ini tetapi saya tidak berharap sangat kerana apa-apa pun boleh berlaku.

“Mungkin sudah rezeki apabila anak sulung mahu lahir pada hari ini, saya rasa sangat bersyukur,” katanya yang dimasukkan ke HTAA selepas pemeriksaan mendapati air ketuban kurang dan sudah ada bukaan.

Sehingga 3 petang, 11 bayi tahun baru dilahirkan di HTAA membabitkan empat bayi lelaki dan tujuh bayi perempuan.

Kelahiran terawal direkodkan pada 12.03 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 4:43 PM