MANGSA parah selepas dipercayai merempuh belakang lori yang sedang membelok di simpang. FOTO ihsan pembaca
MANGSA parah selepas dipercayai merempuh belakang lori yang sedang membelok di simpang. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Apendy Issahak


PELAJAR lelaki sekolah menengah putus kaki kanan selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori ais di Kilometer 8, Jalan Taiping - Selama, Taiping, semalam.

Kejadian 2.30 petang itu, mengakibatkan Muhammad Azham Mohd Rozik, 16, yang beralamat di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang, Taiping parah dan kini dirawat di Hospital Taiping manakala pemandu lori lelaki berusia 49 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada mangsa merempuh belakang lori yang sedang membelok di simpang kanan di lokasi kejadian.

“Lori ais berkenaan dari arah Taiping sedang berhenti untuk membelok ke simpang kanan untuk hantar ais di gerai cendol berhampiran, kemudian pelajar terbabit yang menunggang motosikal dari arah sama dipercayai melanggar belakang lori berkenaan.

“Mangsa yang parah kemudian dihantar ke hospital dan berada di Zon Merah untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kawasan kemalangan jalan lurus, terdapat garisan putus-putus sebagai pembahagi jalan dan sistem jalan dua hala.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 1:36 PM