KEADAAN rumah mangsa. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN rumah mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Garret Dawum


LELAKI melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah di Stutong Baru, di Kuching, hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa yang berusia 50-an itu melecur pada belakang badan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian pada 4.07 pagi.

“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dengan dibantu 13 anggota dari BBP Batu Lintang dan Padungan digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, pihak kami mendapati rumah satu tingkat itu sudah musnah terbakar dan seorang lelaki melecur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut jurucakap itu, mangsa yang melecur menerima rawatan kecemasan di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan unit forensik kebakaran bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 12:41 PM