FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Norizuan Shamsuddin


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri akan menganjurkan program Pesta Durian Jualan Anak Beranak 2.0 dengan memasarkan secara terus buahan dari kebun di perkarangan pejabat agensi berkenaan awal Ogos depan.

Pengarahnya, Fauzi Mohamad berkata, program itu adalah kesinambungan daripada Jualan Anak Beranak dilaksanakan tahun lalu.

Katanya, program itu dijangka dilaksanakan selama satu hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Ketika itu, kita jangka durian dari daerah Setiu, Besut dan Kelantan sudah boleh sudah boleh dijual termasuk buah-buahan tempatan lain seperti rambutan, dokong dan sebagainya.

“Menerusi pesta ini, kita akan menyediakan 15 hingga 20 tan durian untuk dijual kepada orang ramai.

“Kita juga akan cuba sedaya mungkin membuat jualan dengan kadar paling murah dan harga terbaik kepada pengguna,” katanya ketika Majlis Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Hari Raya bersama Usahawan FAMA di Perkarangan Pejabat FAMA negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Fauzi berkata, pihaknya menjangkakan seramai 50 hingga 100 usahawan bakal membabitkan diri bagi pembekalan buahan bermusim bagi program terbabit.

“Dijangka seramai 10,000 penggemar buahan tempatan terutama durian bakal membanjiri pesta durian ini,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 5:38 PM